Rotavirus & Cacar Air – Sering Diambil Ringan

by ITP Expert

Menjadi ibu bapa bukan mudah, jadual harian yang padat dan tanggungjawab menjaga setiap ahli keluarga amat meletihkan. Walaupun mereka cuba melakukan yang terbaik, ada perkara yang mungkin tidak dilakukan oleh ibu bapa bukan kerana terlupa, namun kerana tidak tahu ia penting. Dua contoh mudah ialah memberikan vaksin rotavirus dan cacar air kepada anak-anak mereka.

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, vaksinasi rotavirus dan cacar air sering tidak diberi perhatian oleh ibu bapa. “Ibu bapa tidak memikirkan vaksin-vaksin ini kerana kedua-duanya tidak disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Namun, kedua-dua vaksin ini sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam memastikan kanak-kanak kekal sihat dan selamat.”

Apa itu rotavirus?

Datuk Zulkifli menerangkan: “Rotavirus sangat mudah berjangkit[1].  Rotavirus ialah penyebab utama cirit-birit yang teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun di seluruh dunia[2]. Setiap tahun, rotavirus membunuh kira-kira 215,000 kanak-kanak di seluruh dunia dan menyebabkan sehingga 50% kemasukan ke hospital akibat cirit-birit[3],[4].”

Beliau menekankan bahawa jangkitan rotavirus boleh menjadi sangat berbahaya: “Kanak-kanak yang terjangkit akan menunjukkan simptom seperti demam, muntah dan cirit-birit[1].  Kehilangan cecair dengan cepat ini boleh menyebabkan dehidrasi. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa maut. Bayi paling berisiko mengalami dehidrasi kerana berat badan mereka rendah[5].”

“Jangkitan pertama paling teruk dan tidak menghasilkan imuniti kekal. Jangkitan semula boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur, namun jangkitan yang seterusnya biasanya tidak begitu teruk[6],” kata beliau.

Apa itu cacar air?

Seperti rotavirus, cacar air juga sejenis penyakit berjangkit dan ia disebabkan oleh virus varisela-zoster. Datuk Zulkifli berkata: “Ramai ibu bapa menganggap cacar air sebagai penyakit biasa yang menyebabkan bintik-bintik. Namun, mereka tidak sedar bahawa cacar air boleh mengakibatkan komplikasi atau membawa maut, walaupun bagi kanak-kanak yang sihat.

“Setiap tahun, terdapat kira-kira 4.2 juta kes komplikasi teruk yang menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital dan 4,200 kematian yang berkaitan dengannya di seluruh dunia[7]. Antara komplikasinya ialah radang otak, jangkitan bakteria pada kulit, jangkitan dalam aliran darah dan jangkitan paru-paru[8]. Parut juga boleh terbentuk, terutamanya bagi kanak-kanak yang lebih tua[9].”

Beliau menambah: “Cacar air amat mudah berjangkit. Oleh itu, ia mudah merebak dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya di pusat jagaan dan di tadika[10]. Jangkitan semula jadi biasanya menghasilkan imuniti sepanjang hayat[10], namun ibu bapa tidak boleh menjangka betapa teruknya simptom-simptom yang akan dialami oleh anak-anak mereka, jadi tidak berbaloi mengambil risiko tersebut.”

Slide to find the nearest clinic and talk to a paediatrician about rotavirus prevention. Click Here

Pencegahan melalui siri vaksin

Datuk Zulkifli menyimpulkan: “Langkah-langkah pencegahan penting diambil bagi melindungi kanak-kanak daripada dua penyakit ini, dan salah satu caranya adalah melalui vaksinasi.”

“Saya sering menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang mengenai dua vaksin ini. Anggap kedua-duanya sebagai siri, satu selepas satu, memandangkan kanak-kanak disarankan menerima vaksin rotavirus secepat mungkin selepas berumur 6 minggu, dan seterusnya vaksin cacar air mulai usia 12 bulan[11],[12].”

Setakat ini di Malaysia, vaksin rotavirus dan vaksin cacar air hanya boleh didapati di klinik-klinik swasta. Klik di sini untuk mencari klinik yang terdekat dan bincang dengan pakar pediatrik tentang langkah pencegahan rotavirus dan cacar air untuk anak anda.

Datuk Dr Zulkifli Ismail ialah seorang pakar pediatrik dan kardiologi pediatrik. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life dan Setiausaha Agong Persatuan Pediatrik Asia Pasifik. Datuk Zulkifli juga merupakan bekas presiden Persatuan Pediatrik Malaysia. Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pediatrik di sebuah hospital universiti. Beliau telah menghasilkan lebih daripada 35 buah penerbitan di dalam jurnal semakan penyelidik tempatan dan antarabangsa. Beliau dikurniakan Anugerah Pakar Pediatrik Cemerlang Asia oleh Persatuan Pediatrik Asia Pasifik pada tahun 2012. Pada tahun 2019, Datuk Zulkifli telah menerima Anugerah Wira Vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

MY-VVX-00013 06/19

Rujukan:
[1]Mayo Clinic. 2019. Rotavirus. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rotavirus/symptoms-causes/syc-20351300 (Accessed on March 15, 2019)
[2]WHO. 2013. WHO Position Paper. Retrieved from https://www.who.int/wer/2013/wer8805.pdf?ua=1 (Accessed on March 15, 2019)
[3]WHO. 2018. Immunization, Vaccines and Biologicals. Retrieved from https://www.who.int/immunization/diseases/rotavirus/en/ (Accessed on March 15, 2019)
[4]Fischer, T. K., Bresee, J. S., & Glass, R. I. Rotavirus vaccines and the prevention of hospital-acquired diarrhea in children. Vaccine. 2004; 22S: S49-S54.
[5]NFID. n.d. Frequently Asked Questions About Rotavirus. http://www.nfid.org/idinfo/rotavirus/faqs.html (Accessed on March 11, 2019)
[6]CDC. 2018. Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Diseases. Retrieved from https://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/rota.html (Accessed on March 15, 2019)
[7]WHO. 2014. Varicella and Herpes Zoster Vaccines: WHO Position Paper. Retrieved from https://www.who.int/wer/2014/wer8925.pdf?ua=1 (Accessed on 18 Apr 2019)
[8]CDC. 2018. Chickenpox Complications. Retrieved from https://www.cdc.gov/chickenpox/about/complications.html (Accessed on 18 Apr 2019).
[9]Mayo Clinic. n.d. Chickenpox Diagnosis and Treatment. Retrieved from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chickenpox/diagnosis-treatment/drc-20351287 (Accessed on 18 Apr 2019).
[10]Facts about chickenpox. Paediatrics & child health. 2005; 10(7): 413-4.
[11]WHO. n.d. Rotavirus. Retrieved from https://www.who.int/ith/vaccines/rotavirus/en/ (Accessed on April 29, 2019)
[12]WHO. n.d. Varicella. Retrieved from https://www.who.int/ith/vaccines/varicella/en/ (Accessed on April 29, 2019)

You may also like