Cirit-birit Akibat Rotavirus Mengancam Nyawa Bayi Saya

by Boba Baby

Peristiwa ini berlaku pada hari Rabu. Daniel yang berusia lapan bulan mula demam dan muntah-muntah. Tidak lama kemudian, dia cirit-birit[1]. Najisnya yang cair itu berwarna kehijau-hijauan dan berbau amat busuk. Ibu bapa Daniel yang bimbang akan keadaan anak mereka membawanya ke hospital. Apabila tiba gilirannya berjumpa doktor, Daniel telah pun kehilangan begitu banyak air daripada badannya.

Selepas doktor menjalankan pemeriksaan fizikal, tanda-tanda dehidrasi amat jelas: Daniel kelihatan pucat dan lesu, matanya cengkung dan air matanya tidak keluar ketika menangis[1]. Dia segera diberi infusi intravena.

Doktor mengarahkan ujian dibuat ke atas najis Daniel. Hasilnya positif untuk ujian rotavirus.

Setiap tahun, gastroenteritis rotavirus membunuh kira-kira 215,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun di seluruh dunia[4].

Bagaimana Daniel dijangkiti rotavirus?

Ibu Daniel, Liza yakin bahawa bayinya dijangkiti rotavirus melalui kakaknya Rose yang berusia empat tahun. Dua hari sebelum itu, Rose telah mengalami simptom-simptom yang sama.

Liza menjejak semula puncanya dan percaya bahawa jangkitan itu bermula di taska Rose.

Di hospital, doktor menerangkan bagaimana virus tersebut boleh menjangkiti Rose apabila dia menyentuh objek yang dicemari najis yang terjangkit, dan secara tidak sengaja memasukkan tangannya ke dalam mulut[2]. Selain itu, virus tersebut juga boleh bertahan selama berminggu-minggu di atas permukaan[3], terutamanya jika taska tersebut tidak menjalankan pembersihan atau pembasmian kuman dengan betul.

Nasihat Pakar Pediatrik

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, pakar pediatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, senario seperti ini sering berlaku. Beliau menerangkan bahawa rotavirus ialah virus pengancam nyawa yang paling lazim menjangkiti bayi dan kanak-kanak kecil. Simptomnya merangkumi demam, loya, muntah-muntah dan cirit-birit yang cair, yang boleh berlaku dalam masa dua hari selepas terdedah kepada virus tersebut.

Beliau berkata, “Hampir semua kanak-kanak akan menghidap gastroenteritis rotavirus sebelum mencapai usia lima tahun. Namun, tidak seperti penyakit lain, tiada rawatan khusus untuk rotavirus. Jadi, apabila jangkitan ini berlaku, kita hanya boleh cuba menguruskan simptom-simptomnya sebaik mungkin.”

Bagaimana ibu bapa boleh mencegah rotavirus?

Ibu bapa boleh mengurangkan penyebaran virus melalui amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik, iaitu kerap membasuh tangan dan membasmi kuman pada permukaan yang sering disentuh,” kata Datuk Zulkifli.

“Namun, langkah-langkah ini saja tidak mencukupi,” tambah beliau. “Ibu bapa juga perlu berbincang dengan doktor mengenai imunisasi untuk anak mereka bagi mencegah rotavirus.”

Rotavirus Penyabab Cirit-birit Tenat Kanak-kanak

Klik di sini untuk mencari klinik yang berhampiran dengan anda dan berbincang dengan pakar pediatrik mengenai pencegahan rotavirus untuk anak anda.

Soal selidik rotavirus
MY-ROT-00072 Sep/2020

Slide Click Here to find a clinic near you

Rujukan:
[1] National Foundation for Infectious Diseases https://www.nfid.org/infectious-diseases/frequently-asked-questions-about-rotavirus/
[2]CDC. 2018. Epidemiology and Prevention of Vaccine-Preventable Diseases. Retrieved from https://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/rota.html (Accessed on March 15, 2019)
[3]WebMD. n.d. What is Rotavirus? https://www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus#1 (Accessed on March 13, 2019).
[4]WHO. 2018. Immunization, Vaccines and Biologicals. Retrieved from https://www.who.int/immunization/diseases/rotavirus/en/ (Accessed on March 15, 2019)

MY-ROT-00061 06/20

MY-VVX-00030 07/20

You may also like